Kes Tembak Pegawai Operasi AMBANK
(4 GAMBAR)Suami Sempat Hubungi Isteri Beberapa Minit Sebelum
Kejadian – Anak Saudara | SUBANG JAYA –
”Pak Cik Wan ada menghubungi isterinya beberapa minit sebelum kejadian,”
kata Mohd Fakri Azad M Azhar Syawal, 22, anak saudara kepada pegawai operasi
AMBANK, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak dalam kejadian rompakan di
bank berkenaan di cawangan Jalan USJ Sentral 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.18 petang itu, mangsa maut di
tempat kejadian selepas ditembak penjenayah berusia 37 tahun yang juga pengawal
keselamatan bank berkenaan bersenjatakan pump gun di bahagian kepala kiri.
Menurutnya, bapa saudaranya itu menghubungi Norazita sebelum
berpesan supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke rumah kerana hujan.
“Bapa saudara saya bimbang kerana mak cik (Norazita) rabun
dan sudah tentu sukar untuk memandu dalam keadaan hujan,” katanya ketika
dihubungi, di sini, semalam.
Bercerita lanjut, Mohd Fakri berkata, Pak Cik Wan menghubungi
Norazita sekali lagi namun panggilan kedua itu tidak dijawab.
“Tidak lama kemudiannya, Pak Cik Wan memberitahu saya bahawa
dia dihubungi pihak bank namun pengurusan bank berkenaan tidak memaklumkan apa
yang berlaku sebaliknya mengarahkannya segera ke bank berkenaan.
“Dia (Pak Cik Wan) bergegas ke bank itu namun tidak
mengesyaki apa yang berlaku dan terkejut selepas dimaklumkan kejadian sebenar
sebaik tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu
seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun.
“Pak Cik Wan masih lagi dalam keadaan terkejut dan ibarat
kehilangan separuh jiwa kerana amat menyayangi isterinya. Buat masa ini dua
anaknya masih belum diberitahu tentang kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul
Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan penjenayah terbabit.
“Suspek masih bersenjata dan kami harap orang ramai
berhati-hati selain menyalurkan maklumat segera sekiranya bertemu lelaki
terbabit,” katanya yang turut mengedarkan gambar suspek di lokasi kejadian
kepada media.
Katanya, sehingga kini, pihaknya masih belum dapat memastikan
jumlah wang dilarikan suspek dan berkemungkinan bernilai ratusan ribu ringgit.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Mayat mangsa juga dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk
bedah siasat,” katanya. -hmetro
0 comments:
Post a Comment