Guru Maut Dihempap Enjin
KUALA NERUS – Hasrat pasangan suami isteri untuk menyampaikan ceramah dalam seminar produk kesihatan semalam, tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan ngeri yang membabitkan lima kenderaan.Khadi Saari, 53, dan Rohani Yusof, 49, cedera parah dan meninggal di tempat kejadian di Kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berdekatan Kampung Sungai Ikan, kira-kira jam 7.30 pagi.
Mereka dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kuala Terengganu dengan kereta Produa Viva apabila ia bertembung dengan Honda CRV dari arah bertentangan.
Khadi, guru di salah sebuah sekolah di Besut, dilaporkan tercampak keluar dari keretanya dan dihempap enjin kereta itu.
Rohani, yang duduk di sebelah pemandu pula tercampak kira-kira 10 meter ke seberang jalan.
Difahamkan Khadi cuba mengelak kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang cuba memotong sebuah Honda CRV dari arah bertentangan apabila terbabas ke bahu jalan.
Mangsa kemudiannya dikatakan cuba naik semula ke atas jalan namun bertembung dengan Honda CRV berkenaan sebelum kereta dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah Proton Wira yang datang dari belakang.
Proton Wira berkenaan pula terbabas sebelum melanggar lori yang diletakkan di tepi jalan sebelum kenderaan itu dilanggar sebuah lagi Proton Wira yang datang dari arah yang sama.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, mayat pasangan berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Menurut seorang rakan mangsa, Che Man Ali, 46, kedua-dua mangsa diminta memberi ceramah dalam seminar keusahawanan berkaitan produk kesihatan pada jam 9 pagi, semalam.
Sumber
0 comments:
Post a Comment